Jodoh penyerang kelahiran Brazil yang berusia 33 tahun, Ramon Machado de Macedo bersama Sabah FC menemui titik noktahnya pada hari Ahad nanti iaitu 7hb Julai 2024.
Perkembangan ini hadir selepas Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid mengesahkan pengurusan tertinggi skuad berpangkalan di kepulauan borneo itu dan Ramon mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak.
Baca: Sabah FC Sasar ‘Top 5’ Liga Super 2024-25
“Ramon telah menemui saya dan mengemukakan sebab-sebab dia memohon untuk menamatkan kontrak.”
“Setelah berbincang dan meneliti dengan mendalam bersama pengurusan tertinggi kelab, maka kami setuju menerima permohonan terbabit.” katanya menerusi satu kenyataan yang disiarkan oleh skuad berjulukan The Rhinos pada hari ini.

Ini bermakna perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC di Stadium Likas pada hari esok (Sabtu) menjadi perlawanan terakhirnya bersama Sabah FC.
Pada ketika ini, Sabah ketinggalan 0-4 secara agregat di tangan Terengganu FC ekoran tumpas pada aksi pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 28hb Jun lalu.
Baca: Skuad Wanita Sabah Raih RM471,100 Jika Ke Peringkat Kumpulan AWCL 2024-25
Untuk makluman, kontrak Ramon bersama Sabah FC bimbingan Datuk Ong Kim Swee sepatutnya akan tamat pada 30hb April 2025.
Sebagai rekod, Ramon mula menyertai Sabah pada Jun 2023 – jendela perpindahan kedua Liga Malaysia – selepas meninggalkan kelab yang beraksi dalam saingan Liga Perdana Azerbaijan iaitu Gabala FK.
Persembahan yang memberangsangkan dalam tempoh separuh musim itu dengan menjaringkan 16 gol membuatkan Sabah FC melanjutkan kontraknya sekitar pertengahan Disember tahun lalu.
Baca: Skuad Futsal Sabah Pilih Kuala Lumpur Sebagai ‘Home’
Sepanjang menyarung jersi Sabah FC, Ramon telah merekodkan 26 penampilan setakat ini serta menjaringkan 20 gol secara keseluruhan.
Melewati platform media sosial, terdapat desas-desus yang mengaitkan Ramon dengan naib juara Liga Super 2023, Selangor FC.
Featured Image: Sabah Football Club