Liga Super: Bergson Hatrik, Ubaidullah Kad Merah
July 26, 2024 Hafizuddin Omar

Jaringan hatrik oleh Bergson da Silva memastikan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod enam kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super 2024-25.

Penyerang kelahiran Brazil berusia 33 tahun melakar jaringan hatrik tersebut ketika bertemu Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam ini.

Dalam perlawanan tersebut, Bergson berhasil menembusi gawang yang dikawal oleh Syed Muhamad Nasrulhaq pada minit ke-32 (penalti), ke-64 dan ke-90+2.

Sementara itu, seorang lagi pemain importnya, Heberty, turut meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila berhasil menjaringkan gol pembuka tirai perlawanan seawal minit ke-6.

Baca: Lepas Ini… Suruh Sultan Tulis Surat Murka Aja – Pemilik JDT

Kemenangan besar 4-0 skuad berjulukan Harimau Selatan itu turut dibantu dengan pasukan pelawat bimbingan Tomislav Steinbruckner terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas setengah jam permainan berlangsung.

Ianya gara-gara pertahanan mudanya, Muhammad Ubaidullah Shamsul, dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan iaitu Fitri Maskon ekoran mengasari Bergson di dalam kotak penalti. 

Pada masa yang sama, kekalahan Terengganu FC menyaksikan rekod tanpa kalahnya dalam saingan Liga Super lebur sama sekali.

Baca: JDT Raih Paling Kurang RM3.77 Juta Beraksi Di ACL Elite 2024-25

Untuk perlawanan seterusnya, JDT yang selesa di puncak liga dengan pungutan 18 mata akan berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang bertemu PDRM FC pada Rabu nanti.

Sementara itu, Terengganu FC yang menghuni tangga keempat liga pula akan menantikan kehadiran Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada Selasa.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen