Satu ruangan khas untuk para penonton wanita dan kalangan yang berkeluarga akan diwujudkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) ketika berlangsungnya perlawanan melibatkan Terengganu FC.
Pihak Kompleks Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Terengganu FC memberikan komitmen untuk mewujudkan ruangan itu susulan isu percampuran penonton lelaki dan wanita dibangkitkan oleh para penonton yang hadir aksi separuh akhir 1 Piala FA menentang Selangor FC di SSMZA, pada 19hb Julai lalu.

Baca: Terengganu FC Pulangkan Semula Duit RM1.5 Juta Daripada XFOX Market Holdings
Komitmen MSNT dan Terengganu FC untuk mewujudkan ruangan khas itu dimaklumkan sendiri oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu FC, YB Hishamuddin Abdul Karim.
Ruangan itu akan diwujudkan bermula Selasa ini ketikan Terengganu FC menerima kunjungan Negeri Sembilan FC di SSMZA bagi aksi ketujuh Liga Super 2024-25.
Jelasnya, sebuah pintu khas akan diperkenalkan oleh pihak pengurusan stadium untuk ke ruangan terbabit.
Baca: Terengganu FC Sasar Separuh Akhir Piala Shopee 2024-25

“Usaha memperkenalkan kawasan khas adalah satu bentuk inisiatif istimewa yang diperkenalkan buat kaum wanita dan keluarga demi keselesaan dan keamanan.”
“Pihak kerajaan negeri amat mengharapkan agar lokasi ini menjadi pilihan kaum wanita dan keluarga. Sokongan daripada kaum wanita dan keluarga akan menyemarakkan lagi usaha kita bersama untuk mendokong tuntutan agama bersyariah.” katanya menerusi perkongsian di akaun Facebook peribadinya, hari ini.

Jelas Hishamuddin lagi, tiada sebarang kekangan atau halangan buat penonton wanita yang mahu menduduki ruangan lain atau memasuki ke dalam stadium menggunakan pintu-pintu yang lain.
Sebagai rekod, pertembungan Terengganu FC dan Selangor FC di SSMZA pada 19hb Julai lalu merekodkan kedatangan penonton seramai 31,689 orang.
Featured Image: Terengganu FC