Namanya mungkin tidak sinonim di bibir peminat berbasikal tempatan namun kemunculan DSM-Firmenich PostNL – pasukan berstatus “World Team” dari Belanda – pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 pastinya bakal memikat tumpuan ramai.
DSM-Fermenich PostNL hadir sebagai antara tiga pasukan utama – selain EF Education Easypost (Amerika Syarikat) dan Astana Qazaqstan (Kazakhstan) turut berstatus “World Team” – untuk LTDL 2024 dengan barisan pelumba-pelumba yang sudah kerap kali menguasai perlumbaan di jelajah-jelajah utama antarabangsa.

Walaupun DSM-Fermenich PostNL mungkin didengari hanya popular di Jelajah Worid Tour dan Pro Series, sebenarnya, pasukan ini pernah menggegar pentas LTDL 2011 di bawah nama Skil Shimano.
Pada ketika itu, Skil Shimano mencuri tumpuan menerusi kehebatan pelumba, Marcel Kittel, yang mengatasi cabaran sengit pelumba TSG, Anuar Manan dan Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini – Neri Sotoli, untuk menang pecutan terakhir di peringkat ketiga daripada Taiping ke Sitiawan.
Itu adalah kemenangan peringkat pertama buat Kittel yang terus melakar kerjaya hebat dalam dunia perlumbaan berbasikal antarabangsa apabila berjaya memenangi pelbagai perlumbaan utama – termasuk 14 peringkat Tour de France – sebelum bersara pada 2019.
LTdL 2024: Tiada Pendakian Ke Genting Highlands
Pada tahun ini, DSM Fermenich PostNL sudahpun mencuri tumpuan apabila dua pelumbanya, Romain Bardet dan Frank van den Broek berjaya memenangi dua tempat teratas peringkat pertama perlumbaan Tour de France.
Walaupun belum menamakan barisan pelumba-pelumba yang bakal bersaing untuk LTDL 2024, aura dan kehebatan dimiliki pasukan berpusat di Belanda ini pastinya mengundang gerun 21 pasukan lain yang akan hadir memberikan cabaran pada perlumbaan yang berlangsung dari 29hb September hingga 6hb Oktober kelak.
Featured Image: DSM Firmenich PostNL