Tiket untuk menyaksikan Selangor FC bermain di saingan antarabangsa, Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) mula dijual untuk para penyokong dan peminat bemula hari ini.
Bukan itu sahaja, skuad berjulukan Gergasi Merah turut mengadakan promosi kombo bagi jualan tiket-tiket menentang Dynamic Herb Cebu FC (Filipina), Jeonbuk Hyundai Motors FC (Korea) dan Muangthong United (Thailand) pada peringkat Kumpulan H di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Harga tiket kombo bagi ketiga-tiga perlawanan “home” untuk tempat duduk “grandstand” dewasa adalah RM60 manakala untuk sektor terbuka pula berharga RM50 sahaja (tidak termasuk caj pemprosesan dan lain-lain).
Sementara itu, tiket kombo bagi kanak-kanak pula dijual pada harga RM15 (tidak termasuk caj pemprosesan dan lain-lain).
Bagaimanapun, pihak pengurusan kelab memaklumkan penjualan tiket kombo ini adalah terhad dan promosi ini hanya berlangsung sehingga 19hb September sahaja.
ACL2: Selangor Elak Bertemu Kelab Bimbingan Bojan Hodak
Baca: Tiada Had Guna Pemain Import Dalam ACL2 – CEO Selangor FC
Apabila tamat tempoh tersebut, tiket-tiket yang berbaki untuk perlawanan ACL2 akan dijual secara berasingan seperti biasa pada minggu perlawanan dengan harga RM30 dan RM25 untuk tempat duduk “grandstand” dan terbuka masing-masing bagi setiap perlawanan.
Harga tiket untuk kanak-kanak pula adalah RM10 manakala harga tiket kategori terbuka bagi penyokong pihak lawan pula adalah RM30.
Tiada sebarang penjualan tiket fizikal dilakukan dan kesemuanya hanya boleh dibeli menerusi laman sesawang, www.tickethotline.com.my.
Pada masa yang sama, pihak pengurusan turut memaklumkan, pas bermusim 2024-25 tidak boleh digunakan untuk perlawanan-perlawanan melibatkan saingan ACL2.
Sebagai tambahan, Selangor FC yang baru sahaja bergelar naib juara Piala FA 2024-25 dijadualkan menghadapi Dynamic Herb Cebu FC pada 3hb Oktober diikuti Jeonbuk Hyundai Motors FC pada 23hb Oktober dan akhir sekali, Muangthong United pada 28hb November di Stadium MBPJ.
Featured Image: Selangor FC