Keadaan padang di Stadium Nasional Bukit (SNBJ) semasa berlangsungnya Pesta Bola Merdeka bukan sahaja mendapat kritikan oleh penyokong-penyokong bahkan figura besar dalam bola sepak iaitu Datuk Ong Kim Swee.
Beliau yang merupakan ketua jurulatih Sabah FC dan bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melontarkan kritikan itu menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.
“Keadaan padang yang teruk bukan sahaja menjejaskan keselamatan pemain tetapi juga kualiti permainan secara keseluruhan. Kami mengharapkan pada masa hadapan, tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan padang tersebut diselia pada tahap terbaik.”
Baca: Padang SNBJ Ditukar Kepada Rumput Hybrid Selepas Jun 2024
“Pemain-pemain kita layak mendapat keadaan (padang) terbaik bagi menampilkan kebolehan masing-masing dan beraksi dalam keadaan selamat.” katanya.
Awal pagi tadi, kemarahan Kim Swee terhadap keadaan padang bagi stadium berkapasiti 87,000 tempat duduk itu terlihat apabila beliau membalas komen yang dilontarkan oleh wartawan sukan tempatan, T. Avineshwaran di platform media sosial X.
Baca: Pemilik JDT Derma Rumput Hibrid Untuk SNBJ – Lebih Tahan & Fleksibel
“Cerita yang tak berkesudahan! Memalukan dan SNBJ nak menuding jari sekali lagi atau (berikan) alasan-alasan (lagi)?” tulisnya sambil bersetuju dengan lontaran komen oleh Avinesh yang menyatakan Sabah FC berhak untuk berasa marah dengan keadaan itu kerana menyebabkan kecederaan kepada Dominic selain hampir menyebabkan kecederaan terhadap seorang lagi skuad berjulukan Sang Badak ketika turun menentang Lubnan, semalam.
Dalam perlawanan akhir tersebut, Malaysia bimbingan Pau Marti berjaya melakar kemenangan 1-0 ke atas Lubnan sekaligus bergelar juara Pesta Bola Merdeka buat kali ke-13 dalam sejarah.
Selain itu, kejuaraan itu juga menoktahkan kemarau trofi selama 14 tahun bagi skuad Harimau Malaya selepas muncul juara Piala AFF 2010.
Featured Image: Football Association of Malaysia