Kelab yang menghuni tangga keempat Liga Super iaitu Terengganu FC (TFC) kehilangan seorang lagi pemain importnya iaitu Marin Pilj dari Croatia yang berusia 27 tahun.
Ini berikutan pemain tengah yang telah membuat 16 penampilan bersama skuad Hitam Putih tersebut telah mencapai persetujuan bersama dengan pihak pengurusan untuk menamatkan kontraknya.
Pihak kelab menjelaskan penamatan kontrak pemain yang menyarung jersi bernombor 60 itu diambil berikutan keadaan mental Pilj yang bertambah teruk selepas barisan kejurulatihan dari Croatia iaitu Tomislav Steinbruckner (ketua jurulatih), Ivica Vranjes (penolong ketua jurulatih) dan Bradasic Hrvoje (jurulatih kecergasan) ditamatkan kontrak pada awal Oktober lalu.
Baca: Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner Setuju Tamatkan Kontrak
“Sebelum ini, pemain ini telah pun menghantar surat permohonan untuk penamatan kontrak secara bersama kerana beliau tidak dapat memberikan fokus atas alasan masalah peribadi kerana beliau tidak dapat menyesuaikan diri berada di sini.”
“Ini kerana ianya kali pertama beliau keluar dari Eropah dan berkelana di Asia dan ianya sesuatu yang sangat sukar baginya.”
“Sebelum ini beliau hadir kerana barisan kejurulatihan senegaranya berjaya meyakinkan beliau untuk bermain di liga ini namun apabila kesemua mereka tidak lagi bersama kelab, beliau menyatakan keadaan mental beliau jadi bertambah teruk.”
“Beliau turut hadir bertemu pihak pengurusan kelab beberapa kali membuat rayuan dan menerangkan keadaannya yang makin tidak stabil dan tidak mampu untuk memberikan komitmen penuh untuk berlatih dan menyertai perlawanan.” tulis kenyataan oleh pihak TFC pada Isnin.
Baca: Mengapa Marin Pilj Menyarung Jersi No.60 ?
Tambah pihak kelab lagi, sebelum ini, mereka telah memberikan ruang buat Pilj untuk hadir dan melakukan latihan seperti kebiasaan namun pemain yang pernah beraksi di Liga Croatia dan Liga Slovenia ini tidak dapat memberikan komitmen sepertimana yang diharapkan.
“Pihak pengurusan kelab melihatkan ianya adalah perkara yang serius kerana ia memberikan impak negatif untuk kedua-dua pihak iaitu pemain dan pasukan dan keputusan segera perlu diputuskan.” jelas pihak TFC lagi.
Untuk makluman, Pilj menjadi pemain import kedua yang berpisah sekitar pertengahan saingan Liga Malaysia musim 2024-25 selepas Matthew Steenvoorden yang meninggalkan TFC untuk menyertai HNK Gorica di Croatia pada 15 Oktober lalu.
Featured Image: Terengganu FC