
Pengumuman Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin yang tidak mempertahankan jawatan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengecewakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Pada hematnya, Hamidin yang mula memimpin FAM sekitar pertengahan Julai 2018 telah memperkenalkan banyak inisiatif baharu terhadap bola sepak negara termasuk menggerakkan pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) yang telah bermula sejak Jun lalu.
Untuk makluman, NTC yang dibina di Presint 5, Putrajaya itu bakal menempatkan tiga buah padang bola sepak dengan tiga jenis rumput yang berbeza iaitu bermua, jenis hybrid dan tiruan khusus untuk latihan skuad kebangsaan pelbagai peringkat umur – Fasa 1, menggunakan dana daripada Program FIFA Forward.

Baca: Berakhirnya Era Hamidin Sebagai Presiden FAM
“Sebenarnya saya agak kecewa apabila Tan Sri (Dato’) Hamidin mengumumkan pengumumannya (tidak mempertahankan jawatan Presiden FAM),”
“Ini kerana saya merasakan Tan Sri Hamidin telah memperkenalkan banyak perkara (inisiatif) baharu sebagai contoh projek National Training Centre (Pusat Latihan Kebangsaan) yang sudah berjalan sebahagiannya,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Penyampaian Hadiah Liga Wanita Nasional (LWN) 2024.

Bagaimanapun, Hannah tidak mahu mencampuri urusan pemilihan pucuk pimpinan bagi badan induk bola sepak kebangsaan terbabit yang akan ditentukan pada Kongres Tahunan Ke-61 FAM pada pertengahan Februari 2025.
Jelasnya, beliau hanya mahu memastikan projek-projek nasional terutamanya NTC itu yang turut melibatkan peruntukan sebanyak RM45 juta daripada Kerajaan Persekutuan siap dengan jayanya dan tidak terganggu dengan pertukaran pemimpin FAM.
Baca: Ini Senarai Fasiliti, Kemudahan & Kos Keseluruhan Pusat Latihan Kebangsaan FAM Di Putrajaya
Peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan itu khusus untuk Fasa 2 NTC yang melibatkan pembinaan sebuah bangunan seluas 1,682.8 meter persegi – merangkumi gimnasium, ruang serbaguna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau serta bumbung bagi padang tiruan.
“Terpulang kepada FAM untuk mencari pemimpin baharu tetapi saya nak pastikan semua projek-projek nasional ini tidak terganggu dengan pemilihan (FAM) dan pertukaran pemimpin,”
“Saya harap semua projek nasional ini akan mengikut jadual dan kita harap kita habiskan dengan berjaya,” tambahnya.
Featured Image: FAM