
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mula berkongsikan profil bagi calon-calon yang akan bertanding untuk merebut jawatan-jawatan utama dalam badan induk tersebut bagi penggal 2025-2029.
BWF berkongsikannya kira-kira empat bulan sebelum berlangsungnya pemilihan yang akan dijalankan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BWF 2025, dijadualkan pada 26 April bertempat di Xiamen, China bersempena dengan saingan Piala Sudirman 2025.
Perkongsian profil itu menyaksikan profil bagi dua calon yang merupakan figura yang cukup sinonim dengan sukan badminton tanah air iaitu Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria dan Setiausaha Agung BAM, Dato’ Kenny Goh Chee Keong – merebut jawatan Ahli Majlis BWF.



Baca: Norza Zakaria Dilantik Presiden Kehormat Seumur Hidup BAM
Norza di dalam profilnya menyatakan sebab beliau ingin menjadi salah seorang daripada Ahli Majlis BWF adalah untuk menyumbang pengalaman, visi dan minat mendalamnya terhadap sukan badminton.
“Saya percaya dalam mempromosikan badminton sebagai penyatuan, sukan inklusif yang melangkuai sempadan dan perbezaan budaya, dan saya ingin memainkan peranan dalam meluaskan impaknya ke seluruh dunia.” katanya.


Baca: Norza, Kenny Sertai Kepimpinan Baharu Badminton Asia Sehingga 2027
Sementara itu, Kenny yang bertanding sekali lagi bagi jawatan Ahli Majlis BWF meletakkan tiga visi iaitu untuk melihat badminton berkembang secara global dalam aspek kewangan, lebih banyak pemain beraksi di kejohanan Jelajah Dunia terutamanya dari benua selain asia dan eropah serta pembangunan badminton berkembang pesat di setiap negara.
Untuk makluman, kedua-dua pencalonan Norza dan Kenny ini dicadangkan oleh BAM. Namun pencalonan Norza disokong oleh Persatuan Badminton Thailand (BAT) manakala Kenny pula disokong oleh Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI).
Berdasarkan senarai yang dikongsikan, seramai 30 orang dicalonkan untuk merebut 20 kerusi Ahli Majlis BWF.
Bagi jawatan tertinggi dalam BWF iaitu Presiden, hanya seorang dicalonkan iaitu Khunying Patama Leeswadtrakul yang merupakan Presiden BAT merangkap Timbalan Presiden BWF penggal 2021-2025 – dicalonkan oleh BAM dan disokong oleh Badminton Denmark.