Kerusi Terpakai SSA Siap Dipasang Di ‘Grandstand’ Stadium Mini Kerteh
February 20, 2025 Hafizuddin Omar

Gelanggang rasmi bagi kelab amatur, Kerteh FC iaitu Stadium Mini Kerteh kini tampil lebih menarik apabila kerusi-kerusi terpakai daripada Stadium Shah Alam (SSA) siap dipasang di bahagian tempat duduk utamanya (grandstand).

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerteh FC, Syed Khairi Amier Syed Radzuan sambil mengirimkan beberapa keping foto kepada Sukanz, pada hari ini.

“Kerusi sumbangan dari Stadium Shah Alam (SSA) telah siap dipasang di grandstand.” ujarnya.

Sepertimana dikongsikan oleh pihak Kerteh FC, pihak pengurusan kelab berjulukan The Oilers itu menerima 2,000 unit kerusi terpakai SSA namun jumlah yang dipasang pada grandstand itu adalah sebanyak 400 unit sahaja – fasa permulaan.

Dimaklumkan, baki 1,600 unit kerusi lagi akan dipasang oleh Kerteh FC di gelanggang berkenaan yang turut dinamakan sebagai “Kerteh Sports City” pada fasa berikutnya bergantung kepada kemampuan kewangan pihak kelab.

Sementara itu, Syed Khairi Amier sempat berkongsikan mengenai perancangan lain yang akan dilakukan pada stadium mini yang menggunakan rumput jenis sintetik berkenaan.   

Antaranya menjalankan kerja-kerja membaik pulih bahagian bumbung yang bocor serta meletakkan papan tanda “Kerteh Sports City” di hadapan “grandstand” bagi menjadikannya lebih ikonik dan menyerlah. 

Jelas Syed Khairi Amier lagi, ini merupakan sebahagian daripada projek jangka masa panjang pembangunan fasiliti sukan di Kerteh.

Baca: Kerteh Sports City Turut Mempunyai Gelanggang Futsal, Badminton & Medan Selera

“Proses Fasa 1 masih berjalan dengan perlahan kerana beberapa cabaran termasuk keperluan sumber tambahan dan keutamaan kerja yang perlu disusun dengan rapi.” 

“Dalam masa yang sama, pertumbuhan padang dan fasiliti baharu di sekitar turut memberikan persaingan sihat serta lebih banyak pilihan kepada komuniti dan pengguna.”

“Bagi yang ingin terlibat secara langsung dalam pembangunan ini, anda boleh menyertai Koperasi Penyokong Kelab Bola Sepak Kerteh Berhad (KPKBKB).” 

“Keahlian koperasi bukan sekadar menyokong kelab, tetapi juga memainkan peranan dalam memastikan stadium ini berkembang sebagai pusat bola sepak utama di kawasan ini.” katanya lagi kepada Sukanz.

Baca: Kerteh FC Buka Keahlian Koperasi Penyokong – Pendaftaran Bermula RM100

Komen