Liga Super: JDT Rangkul Kejuaraan Ke-11, Kaut Duit Sebanyak RM2.4 Juta
February 24, 2025 Hafizuddin Omar

Kelab bola sepak milik DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mengesahkan kejuaraan Liga Super sekaligus menjadi gelaran kesebelas berturut-turut diraihnya sejak musim 2014.

Pengesahan kejuaraan itu hadir selepas JDT bimbingan Hector Bidoglio melakar kemenangan 2-0 ke atas Perak FC pada perlawanan ke-20 pada musim ini bertempat di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.

Menyumbang kepada kemenangan itu adalah jaringan daripada Jese Rodriguez pada minit ke-45 selepas mendapat hantaran daripada Arif Aiman dalam kotak penalti.

Sementara itu, sebutir lagi gol dijelmakan oleh Jorge Obregon pada minit ke-64 menerusi sepakan penalti.

Baca: JDT Kutip RM6.22 Juta Hasil Beraksi Di Peringkat Liga ACLE 2024-25

Lebih mengagumkan, skuad berjulukan Harimau Selatan menjelmakan kejuaraan kesebelas itu dengan baki empat perlawanan yang masih perlu dihadapi bagi musim 2024-25.

Bagaimanapun, JDT yang kini mengutip 58 mata daripada perlawanan sudah tidak dapat dipintas lagi oleh pasukan di tangga kedua, Selangor FC, yang mempunyai 42 mata daripada 19 perlawanan biarpun tewas dalam kesemua empat perlawanan tersebut.

Untuk makluman, kelab berjulukan Gergasi Merah bimbingan Katsuhito Kinoshi hanya dapat mengumpul maksimum 57 mata sekiranya mencatatkan lima kemenangan bersih dalam kesemua baki perlawanan selepas ini.

Susulan pengesahan kejuaraan ini, JDT juga mengaut wang tunai lumayan sebanyak RM2.4 juta agihan daripada badan penganjur, Malaysian Football League (MFL).

Secara pecahannya, jumlah itu RM1.9 juta hasil menamatkan saingan Liga Super di kedudukan pertama manakala baki RM500,000 lagi adalah merupakah agihan sama rata kepada semua kelab yang bertanding.

Baca: MFL Perkenal Agihan Berdasarkan Merit, Naib Juara Liga Super Raih RM1.9 Juta

Featured Image: JOHOR Southern Tigers 

Komen