
Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali yang mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional pada tahun 2023 tampil melelongkan salah satu jersi yang cukup sentimental dalam kariernya.
Menerusi satu hantaran di akaun Facebook, SafeeSali_10 Official, bekas pemain yang berusia 41 tahun itu dilihat melelongkan jersi bernombor 10 yang disarungnya ketika turun menentang FC Istiklol dalam perlawanan akhir Piala AFC 2015.
Dalam perlawanan tersebut, Safee bermula dalam kesebelasan utama dan beraksi selama 60 minit sebelum digantikan dengan pertahanan, Mahali Jasuli oleh ketua jurulatih skuad berjulukan Harimau Selatan pada ketika itu, Mario Gomez.


Baca: Safee Pilih Gol ‘Bicycle Kick’ Lawan East Bengal Antara 3 Jaringan Terbaiknya
“Setiap jersi yang saya simpan membawa bersamanya kenangan yang indah dan moment (detik) yang tak terlupakan. Tawaran tertinggi akan mendapat peluang untuk memiliki jersi sentimental ini.”
“Saatnya untuk melepaskan yang lama dan memberi ruang untuk pengalaman baru. Terima kasih, wahai kenangan terindah dan atas segala yang telah kau ajarkan.” tulisnya dalam hantaran terbabit pada hari ini.
Selepas sekitar satu jam dan 40 minit hantaran itu dibuat, dimaklumkan jersi yang menyaksikan JDT muncul selaku kelab pertama dari rantau asia tenggara menjulang trofi Piala AFC terbabit telah pun terjual.
Di ruangan komen, bidaan yang tertinggi direkodkan setakat jam 10.31 pagi adalah sebanyak RM2,888.
Baca: Harimau Malaya, Safee Sali Disertakan Secara Rasmi Dalam eFootball 2024
Pada Ahad, Safee turut melelongkan jersi yang pernah disarungnya bersama Pelita Jaya FC ketika beraksi dalam kancah bola sepak negara jiran tetangga, Indonesia.
Jersi berwarna merah putih berserta tampalan logo Indonesia Super League (ISL) dan beberapa logo penaja itu masih belum mempunyai pemiliknya dan setakat ini bidaan tertinggi adalah sebanyak RM5,000.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers & SafeeSali_10 Official