Arab Saudi Dedah Reka Bentuk Stadium Berkapasiti 92,000 – Dilengkapi Sistem Penyejukan

July 29, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Suruhanjaya Diraja Bandaraya Riyadh (RCRC) dan Kementerian Belia dan Sukan Arab Saudi tampil mengumumkan reka bentuk dan pelan untuk Stadium Raja Salman – berkapasiti 92,000 tempat duduk. 

Jumlah itu merangkumi 150 tempat duduk di “royal box”, 120 tempat duduk di “hospitality suites”, 300 tempat duduk VIP dan 2,200 tempat duduk untuk orang kenamaan. 

Reka bentuk stadium berkenaan mengambil inspirasi daripada “gunung bertanah” yang terdiri daripada dinding dan bumbung berwarna coklat dan hijau. 

Baca: Kerusi Stadium Shah Alam Akan Ditawarkan Kepada Stadium & Astaka Daerah Secara Percuma

Difahamkan, rekaan itu dipilih bagi menyepadukannya dengan keadaaan sekelilingnya iaitu Taman Raja Abdulaziz – lembah yang penuh dengan kehijauan.

Menurut RCRC, stadium itu juga akan dilengkapi dengan sistem penyejukan mapan pada tempat duduk dan lantai stadium, skrin besar untuk para penonton, taman dalam bangunan serta laluan pejalan kaki dengan pemandangan Taman Raja Abdul Aziz.

Bukan itu sahaja, kompleks stadium itu juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan serta fasiliti untuk sukan-sukan lain seperti dua padang latihan, dewan tertutup, kolam renang bersaiz olimpik, trek balapan, gelanggang bola tampar, bola keranjang dan padel untuk semua lapisan umur. 

Baca: FIFA Implemen Hanya Kapten Boleh Dekati Pengadil Di Olimpik 2024

Dimaklumkan, reka bentuk dan pelan untuk stadium ini telah pun mendapat kelulusan termasuk piawaian yang digariskan oleh FIFA. 

Stadium serba canggih ini dijangka siap pada suku keempat 2029 dan setelah siap ianya akan menjadi gelanggang rasmi bagi skuad kebangsaan Arab Saudi dan venue bagi kejohanan-kejohanan besar.

Untuk makluman semua, Arab Saudi juga telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Piala Dunia FIFA 2034.

Pembinaan stadium yang berobjektifkan untuk menyokong pembangunan sektor sukan dan para atlet selain memperkukuhkan status Arab Saudi sebagai peneraju hab sukan ini mendapat sokongan Raja Salman Bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Putera Salman  Bin Abdulaziz Al Saud.

Baca: Presiden FIFA Umum Arab Saudi Anjur Piala Dunia 2034

Featured Image: Royal Commission for Riyadh City

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd