Nama penyerang sayap muda skuad kebangsaan serta Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman yang berusia 21 tahun terus menjadi tumpuan serta diletakkan setaraf dengan beberapa pemain berstatus bintang menjelang saingan Piala Asia 2023.
Terbaru, penganjur iaitu Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membariskan pemain kelahiran Pahang itu bersama-sama Takefusa Kubo (Jepun, Real Sociedad) serta Lee Kang-in (Republik Korea, Paris Saint-Germain) dalam artikel 5 Bintang Muda Terbaik.
Arif tersenarai berdasarkan sumbangan 21 jaringan serta 14 bantuan golnya telah membantu JDT meraih empat trofi; Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA, Piala Malaysia dan kejuaraan Liga Super pada musim 2023.
Baca: Arif Aiman, Bruno Fernandes Setaraf Di Pentas Antarabangsa
Penyenaraiannya di dalam artikel berkenaan oleh AFC turut bersandarkan ketajamannya di hadapan gawang bersama skuad kebangsaan.
Nama Arif menarik perhatian terutamanya ketika meledak empat gol semasa bersama Malaysia membantai Papua New Guinea pada Jun lalu serta hatrik bantuan gol ketika Malaysia melakar kemenangan mengejutkan 4-3 ke atas Kyrgyzstan dalam aksi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 baru-baru ini.
Dianugerahkan dengan kelajuan dan kemampuan untuk menggelecek melepasi pertahanan, Arif dilihat sebagai senjata sakti buat Kim Pan-gon menatijahkan kehadiran semula skuad kebangsaan di pentas Piala Asia buat julung kalinya selepas edisi 2007.
Baca: Jepun Bawa 20 Pemain Berpangkalan Di Eropah Untuk Hadapi Piala Asia 2023
Sementara itu, Kubo, 22 tahun, yang turut tersenarai dalam artikel itu hadir dengan statistik tujuh penampilan serta menjaringkan dua gol dan mencetak enam bantuan gol buat skuad berjulukan Samurai Biru sepanjang tahun lalu.
Di peringkat kelab, kelibat Kubo telah membantu kelabnya, Real Sociedad meraih slot ke saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) buat pertama kali dalam tempoh sedekad selain telah menjaringkan sembilan goal dalam saingan La Liga musim ini.
Baca: Korea Panggil 12 Pemain Di Eropah Untuk Hadapi Piala Asia 2023
Bintang muda skuad Korea atau nama julukannya iaitu Pahlawan Taeguk, Kang-in pula menyertai senarai ini selepas menjadi tonggak utama PSG disamping Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele setakat musim ini. Manakala bersama skuad kebangsaan Korea, Kang-in merekodkan empat gol dan tiga bantuan gol sepanjang 2023.
Baki dua pemain bintang yang turut tersenarai di dalam artikel AFC itu adalah penyerang sayap, Ali Jassim (Iraq, Al-Qudwa Al-Jawiya) yang berusia 19 tahun serta pemain tengah menyerang, Abbosbek Fayzullaev (Uzbekistan, CSKA Moscow) yang berumur 20 tahun.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers