Akmal Rizal Naik Pangkat, Manzoor Bimbing Penang FC II
January 17, 2024 Hafizuddin Omar

Bekas penyerang skuad kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli kini secara rasminya memegang peranan sebagai ketua jurulatih Penang FC untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25.

Pengendali berusia 42 tahun terbabit yang baru sahaja mendapat lesen kejurulatihan, AFC Pro Diploma diumumkan oleh pihak pengurusan sebagai ketua jurulatih bagi skuad berjulukan Harimau Kumbang, malam tadi.

Sebelum ini, Akmal Rizal memegang peranan sebagai ketua jurulatih sementara untuk baki tiga perlawanan Liga Super pada musim lalu menggantikan Manzoor Azwira.

Sepanjang tempoh itu, Akmal Rizal berhasil mengemudi Penang FC mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan sekaligus menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga kesepuluh.

Baca: Akmal Rizal Sedia Bimbing Penang FC Musim 2024-25

Sementara itu, Manzoor, 47 tahun, yang turut mendapat lesen AFC Pro Diploma bersama-sama Akmal Rizal sekitar pertengahan November lalu dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun iaitu Penang FC II.

Dalam satu kenyataan yang berlainan pada malam tadi, Penang FC turut mengumumkan melantik legendanya dari Maghribi, Merzagua Abderrazzak sebagai Pengarah Teknikal.

Individu berusia 57 tahun ini pernah menyertai Penang FC yang dahulunya dikenali sebagai Pulau Pinang selaku pemain pada era 90-an.

Baca: Penang FC Pecat Pengarah Teknikal, Pengurus Pasukan Susulan Prestasi Hambar

Merzagua cukup diingati oleh penyokong tegar Harimau Kumbang terutamanya ketika menjadi hero membantu Pulau Pinang mendakap kejuaraan Liga Perdana Satu pada tahun 1998.

Selain itu, kehebatan Merzagua dalam kancah bola sepak tanah air turut membolehkannya dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik selama tiga tahun berturut-turut pada Anugerah Bola Sepak Negara dari 1996 hingga 1998.

Untuk makluman, Merzagua telah memulakan tugasnya secara rasmi selaku Pengarah Teknikal Penang FC pada 1 Januari lalu. 

Featured Image: Penang FC

Komen