BAM Belum Pasti Senarai Atau Sisih Tze Yong Hadapi BATC 2024
January 19, 2024 Hafizuddin Omar

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum membuatkan keputusan samada untuk menyenaraikan atau menyisihkan perseorangan lelaki No.2 tanah air, Ng Tze Yong dalam skuad lelaki negara untuk menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.

BAM seakan-akan berada dalam dilema berikutan pemain berusia 23 tahun yang menghuni ranking ke-14 dunia itu sedang berada dalam fasa pemulihan berikutan mengalami kecederaan koyak otot belakang ketika menyertai saingan Terbuka Malaysia 2024, baru-baru ini.

Susulan kecederaan tersebut, Tze Yong terlepas saingan Terbuka India 2024 yang berlangsung pada minggu ini sementara pembabitannya dalam kejohanan Indonesia Masters 2024 pada penghujung Januari belum dapat dipastikan.

Baca: Ng Tze Yong Terlepas Terbuka India 2024

Biarpun saingan BATC 2024 akan berlangsung sekitar pertengahan Februari kelak namun BAM perlu membuat keputusan untuk menyenaraikan atau menyisihkan Tze Yong selewatnya-lewatnya pada 26hb Januari – tarikh terakhir pendaftaran pemain-pemain BATC.

“Saya fikir masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang keputusan, saya rasa lebih elok kita beri masa kepada Tze Yong dan pengarah kejurulatihan, mana tahu (dia akan disenaraikan),” 

“Sebab kejohanan ini (BATC) bulan depan kan? Jadi, mungkin ada masa, tapi masih terlalu awal (untuk buat keputusan),” ujar setiausaha Agung BAM, Dato’ Kenny Goh ketika ditemui pengamal media selepas Majlis Pelancaran BATC di Setia Alam, semalam.

Baca: Lee Zii Jia Sahut Panggilan BAM Sertai Skuad BATC 2024

Tatkala penyertaan Tze Yong masih menjadi tanda tanya, jaguh perseorangan lelaki tanah air, Lee Zii Jia pula muncul yang terawal menyatakan komitmen untuk menganggotai skuad lelaki negara bagi berentap di BATC 2024.

Sementara itu, beregu lelaki No.2 negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi pula mengesahkan tidak akan menyertai saingan BATC kali ini.

Sebagai rekod, skuad lelaki negara turun beraksi dalam saingan BATC kali ini selaku juara bertahan manakala skuad wanita negara pula merupakan semi-finalist pada edisi lalu.

Baca: BAM Sasar Skuad Negara Ke Peringkat Separuh Akhir BATC 2024

Untuk pengetahuan, BAM meletakkan sasaran buat skuad lelaki dan wanita untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dalam saingan BATC 2024.

Sasaran tersebut diletakkan agar skuad lelaki dan wanita negara meraih kelayakan secara merit ke saingan Piala Thomas dan Uber 2024 yang akan berlangsung di Chengdu, China pada penghujung April hingga awal Mei nanti.

Featured Image: Thailand Open

Komen