JDT Buat Pusingan-U Kekalkan Penyerang Usia 34 Tahun
January 22, 2024 Hafizuddin Omar

Khidmat penyerang kelahiran Argentina yang mempunyai pasport Itali, Fernando Forestieri akan terus ditagih oleh gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengharungi saingan tempatan dan antarabangsa musim 2024-25.

Sebelum ini, juara Liga Super sebanyak 10 kali berturut-turut itu mengumumkan melepaskan khidmat Forestieri yang menjaringkan 22 gol sepanjang musim 2023 pada awal Januari.

Bagaimanapun, JDT atau nama julukannya, Harimau Selatan membuat pusingan-u apabila mengumumkan mengekalkan Forestieri yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 pada 15 Januari lalu untuk menghadapi saingan musim hadapan.

“Berikutan perbincangan bersama pemilik kelab, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, Fernando Forestieri dan saya sendiri, penyerang tersebut akan kekal dalam skuad Johor Darul Ta’zim, serta tiga pemain antarabangsa baharu akan mengukuhkan pasukan secara strategik di beberapa posisi untuk musim 2024-25.” demikian makluman terbaru daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards.

Baca: 10 Kemenangan Terbesar JDT Sepanjang 2023

Untuk makluman semua, selain mempunyai ketajaman di hadapan gawang, Forestieri yang pernah beraksi dalam kancah bola sepak Itali, Inggeris dan Sepanyol turut mempunyai kemampuan untuk mencipta bantuan gol (assist) buat rakan sepasukan.

Sebagai rekod, sebanyak sembilan bantuan gol dicipta oleh Forestieri termasuk dilakukannya dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) sepanjang musim lalu.  

Dalam kenyataan yang sama, Alistair turut menyatakan JDT akan menandatangani khidmat tiga pemain import baharu tanpa memberikan sebarang bayangan mengenai ketiga-tiga pemain tersebut bagi mengukuhkan skuad Harimau Selatan.

Terdahulu, JDT telah mengumumkan mengikat khidmat dua pemain import baharu iaitu pemain tengah, Jalil Elias (Argentina-Syria) dan pemain tengah menyerang, Francisco Geralde (Portugal).

Featured Image: 

Komen