ALX Ganti Umbro Selaku Penyedia Kit Terengganu FC – Tajaan Cecah RM2 Juta
January 30, 2024 β€’ Hafizuddin Omar

Kerjasama dan tajaan daripada jenama pembuat pakaian sukan dari England iaitu Umbro bersama naib juara Piala Malaysia 2023, Terengganu FC menemui titik noktahnya selepas dua musim.

Saingan musim bola sepak baharu yang bermula awal Mei kelak menyaksikan Terengganu bimbingan Tomislav Steinbruckner akan menyarung jersi buatan jenama baharu tempatan iaitu ALX.

Untuk pengetahuan semua, ALX merupakan sebuah jenama kualiti premium yang baharu milik syarikat pengedar barangan sukan terbesar negara iaitu Al-Ikhsan Sports.

Pihak kelab memaklumkan ALX akan digunakan sepenuhnya sebagai kit lengkap bagi skuad Hitam Putih dengan persetujuan tempoh kerjasama sehingga selesainya musim 2025-26.

Baca: Terengganu FC Ikat Penaja Baharu Bernilai RM250,000 Hadapi Musim 2024-25

Pada masa yang sama, dimaklumkan ALX hadir dengan tajaan besar bernilai hampir RM2 juta.

Perkembangan ini menyaksikan Terengganu FC menjadi kelab bola sepak Liga Super sulung yang akan menggunakan jenama ALX.

Sebelum ini, jenama ALX pernah dipertontonkan kepada umum apabila menyediakan kit buat Team Bekpes Hot yang dibarisi mantan ahli parlimen, Khairy Jamaluddin; pelawak tanah air, Johan dan beberapa selebriti tempatan ketika menentang pasukan pilihan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Disember lalu.

Sebagai tambahan, ini merupakan kali kedua Terengganu FC mengadakan kerjasama dan mendapat penajaan bagi kit pasukan daripada jenama buatan Al-Ikhsan Sports iaitu Active Lifestyle (AL) dari tahun 2019 hingga 2021.

Baca: JDT Buat Pusingan-U Kekalkan Penyerang Usia 34 Tahun

Komen