Piala Asia B-23: Selangor FC Tiada Masalah Lepaskan Pemain
Hafiz Omar
Naib juara Liga Super, Selangor FC sedia memberikan “lampu hijau” kepada para pemainnya untuk beraksi bersama skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) bagi menghadapi saingan Piala Asia B-23 yang bermula pertengahan April di Qatar kelak.
Biarpun kejohanan terbabit berada di luar kalendar perlawanan antarabangsa FIFA serta berada dalam tempoh pramusim, skuad berjulukan Gergasi Merah berbesar hati untuk melepaskan para pemainnya dan menganggapnya sebagai satu tanggungjawab buat negara.
Kesediaan Selangor FC untuk memberikan “lampu hijau” disuarakan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasinya (COO), Aladdin Mostafa.
“Saya rasa coach (Tan Cheng Hoe) akan tentukan perkara ini, kami dah ada bincang dengan coach, saya rasa kami dan barisan kejurulatihan bawah 23 tahun FAM tiada sebarang isu,”
“Jadi, kalau memang ada keperluan untuk lepaskan pemain, kami okay, (walaupun di luar kalendar FIFA), kami sentiasa menyokong sepertimana anda tahu ramai skuad bawah 23 tahun ramai pemain Selangor FC,”

Baca: Undian Piala Asia B-23: Malaysia Sekumpulan Finalis Edisi 2018
Baca: Medal Sukan Olimpik 2024 Punyai Cebisan Menara Eiffel – Berat Sekitar ½kg
“Ini merupakan tanggungjawab kami kepada negara selagi mana tak kacau sangat perancangan pramusim kami,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.
Sebagai rekod, kem latihan pusat skuad kebangsaan B-23 yang berlangsung pada Disember lalu menyaksikan seramai lapan orang pemain Selangor FC – paling ramai – dipanggil oleh ketua jurulatih, Juan Torres Garrido.
Nama-nama yang dipanggil ialah Mukhairi Ajmal, Syahmi Adib, Ruventhiran, Zikri Khalili, Harith Haiqal, Syahir Bashah, Aliff Izwan Yuslan dan Abu Khalil.
Untuk makluman semua, skuad kebangsaan B-23 atau berjulukan Harimau Muda telah diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.
Sebagai tambahan, saingan Piala Asia B-23 kali ini turut menawarkan tiga tiket automatik ke temasya Sukan Olimpik 2024 buat juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga.
Manakala pasukan di tempat keempat akan ke perlawanan play-off menentang skuad Guinea B-23 – pasukan tempat keempat Piala Negara-Negara Afrika B-23 2023.
Featured Image: AFC