Jaringan Faisal Halim Dinobatkan Gol Terbaik Piala Asia 2023 – Raih 85% Undian
February 26, 2024 Hafizuddin Omar

Sebanyak 85% undian diberikan kepada jaringan yang dicipta oleh penyerang sayap kebangsaaan, Faisal Halim ketika menentang Republik Korea pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan E dalam saingan Piala Asia 2023 yang lalu.

Undian besar itu sekaligus mengesahkan jaringan menerusi gerakan lincah Faisal atau nama timanangannya, Mickey ‘mengayam-ayamkan’ pertahanan dan penjaga gol Korea, Kim Min-jae dan Jo Hyeon-woo sebagai Gol Terbaik Kejohanan.

Keputusan undian itu terpapar setelah tempoh undian yang dibuka kepada para peminat ditutup pada jam 10 malam tadi waktu Malaysia.

Baca: Oman Lantik Pengendali Dari Czech Untuk Hadapi Malaysia

Baca: PSM Alih Rumput Zeon Zoysia Bawah Pentas & ‘Tower Speaker’ Konsert Ed Sheeran

Baca: Faisal Kongsi Perbualan Bersama Son Ketika Berentap Di Stadium Al Janoub

Lebih membanggakan, peratusan yang diraih penyerang berusia 26 tahun itu jauh meninggalkan pencabar terdekatnya, Mousa Al-Tamari dari Jordan yang menjaringkan gol ketika menentang Korea – 9% undian sahaja.

Sementara itu, penyerang sensasi Korea yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL), Son Heung-min semasa bertemu Australia pula sekadar meraih 3% undian sahaja.

Secara kebetulan, ketiga-tiga jaringan yang mendapat undian tertinggi ini hadir daripada pasukan yang berentap dalam kumpulan yang sama iaitu Kumpulan E.

Manakala dua lagi jaringan yang dicipta oleh Sardar Azmoun dan Supachok Sarachat dari Iran dan Thailand meraih 1% undian masing-masing.

Malangnya, tiga lagi jaringan yang dihasilkan oleh Keito Nakamura (Jepun), Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi) dan Hassan Al Haydos (Qatar) gagal meraih sebarang peratusan undian.

Featured Image: AFC

Komen