Liga M3: Sarawak United FC Tarik Diri, Kelantan FC Diberi Masa 14 Hari
March 8, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di kepulauan Borneo iaitu Sarawak United FC diumumkan menarik diri daripada saingan Liga M3 atau nama komersilnya, MBSB Bank Championship bagi musim 2024-25.

Turut sama mengikuti jejak langkah itu adalah pasukan yang berpangkalan di Negeri Sembilan, SAINS FC.

Perkembangan tersebut disahkan sendiri oleh pengendali liga amatur tanah air iaitu Amateur Football League (AFL) selepas mengadakan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL Kali Pertama Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Baca: Melaka FC Bimbingan K. Devan Guna Logo Baharu Hadapi Liga M3

Sementara itu, AFL secara rasminya mengesahkan sembilan buah pasukan akan bertanding dalam saingan Liga M3 2024-25 dan senarai pasukan-pasukannya adalah seperti berikut;

  1. Imigresen FC (juara Liga M3 2023)
  2. Armed Forces FC
  3. Harini Selangor FT
  4. Malaysian University
  5. Melaka FC
  6. Manjung City FC
  7. PIB Shah Alam FC
  8. Bukit Tambun FC 
  9. YPM FC (Naib juara Liga M4 2023)

Baca: Liga M3 2024-25 Bermula 3 Mei

Pada masa yang sama, dua buah pasukan iaitu KL Rovers (naib juara Liga M3 2023) dan UiTM United (juara Liga M4 2023) diberikan tempoh lanjutan sehingga 14 hari bagi melengkapkan pengesahan penyertaan mereka.

Sepertimana dikongsikan oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad sebelum ini yang mahukan saingan Liga M3 kekal dengan penyertaan sebanyak 14 pasukan maka Ahli Lembaga Pengarah AFL turut menerima permohonan penyertaan daripada pasukan baharu.

Baca: COO AFL: Mungkin Ada Ruang Kelantan Sertai Liga M3

Sebanyak dua pasukan baharu yang membuat permohonan untuk menyertai Liga M3 2024-25 iaitu pasukan tercorot Liga Super 2023, Kelantan FC dan semi-finalis Liga M4 2023, Machan FC.

Sama seperti KL Rovers dan UiTM United, kedua-dua pasukan di atas turut diberikan tempoh masa selama dua minggu untuk melengkapkan pengesahan penyertaan mereka.

Komen