Sukan Olimpik: Harimau Muda, Israel Sekumpulan Sekiranya Muncul Juara Piala Asia B-23
March 21, 2024 • Hafizuddin Omar

Skuad kebangsaan bola sepak bawah 23 tahun (B-23) atau nama julukannya, Harimau Muda akan berada bersama-sama Israel dalam acara bola sepak lelaki di temasya Sukan Olimpik sekiranya muncul juara Piala Asia B-23.

Ianya berdasarkan kepada hasil undian yang keluar pada awal pagi tadi (waktu Malaysia) dimana juara Piala Asia B-23 akan menyertai Kumpulan D bersama-sama Israel, Mali dan Paraguay.

Sementara itu, mana-mana pasukan yang muncul naib juara Piala Asia B-23 pula diletakkan dalam Kumpulan C bersama-sama Sepanyol, Mesir dan Republik Dominika.

Manakala pasukan yang menamatkan saingan Piala Asia B-23 di tempat ketiga pula akan menyertai Kumpulan B sambil ditemani oleh Argentina, Maghribi dan Ukraine.

Baca: Medal Sukan Olimpik 2024 Punyai Cebisan Menara Eiffel – Berat Sekitar ½kg

Baca: Thierry Henry Bimbing Skuad Olimpik Perancis

Akhir sekali, keputusan undian tersebut menyaksikan Kumpulan A diisi oleh tuan rumah iaitu Perancis serta Amerika Syarikat, New Zealand dan pemenang play-off antara pasukan keempat Piala Asia B-23 dan Guinea – pasukan keempat Piala Negara-Negara Afrika B-23 2023.

Untuk makluman semua, 16 buah pasukan B-23 benua asia termasuk Malaysia bimbingan Juan Torres Garrido akan beraksi dalam saingan Piala Asia B-23 2024 bermula dari 15 April hingga 3 Mei kelak.

Baca: Ada Slot Play-Off AFC-CAF Buat Harimau Muda Layak Ke Sukan Olimpik

Kejohanan ini menawarkan tiga slot automatik untuk ke temasya Sukan Olimpik 2024 selain satu slot play-off.

Sementara itu, temasya Sukan Olimpik 2024 yang berlangsung di Paris itu akan bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen