KL City Pertaruhkan Pengalaman Di Piala AFC Untuk Harungi Piala Shopee 2024-25
May 10, 2024 Hafizuddin Omar

Cabaran sukar menanti pasukan berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City FC kendalian Miroslav Kuljanac dalam saingan Kejohanan Kelab ASEAN atau Piala Shopee 2024-25.

Ini selepas skuad berjulukan The City Boys itu diundi bersama-sama Buriram United FC (Thailand), Cong An Ha Noi FC (Vietnam), Borneo FC Samarinda (Indonesia), Kaya FC-Iloilo (Filipina) dan Lion City Sailors FC (Singapura) dalam Kumpulan B.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard turut mengakui kelabnya diundi dalam kumpulan yang sukar sambil menyifatkan hasil undian tersebut sebagai “no brainer” ketika dihubungi pihak media, semalam.

Baca: Miroslav Kuljanac Naik Pangkat, Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih KL City

Untuk makluman, kelab-kelab tersebut merupakan juara Liga Thailand 2023, Liga Vietnam 2023, mendahului Liga Indonesia 2023-24, juara Liga Filipina 2023 dan naib juara Liga Singapura 2023 masing-masing.

Bukan itu sahaja, kelab-kelab seperti Buriram United, Kaya FC-Iloilo dan Lion City Sailors pula mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi bola sepak benua asia iaitu Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Namun begitu, Stanley percaya pengalaman majoriti pemain-pemainnya yang beraksi dalam saingan Piala AFC pada musim 2022 akan dapat membantu KL City mara sejauh mungkin dalam kejohanan ini.

Baca: Brendan Gan Sertai KL City, Nak Kekal Jadi ‘Orang Bandar’ – Kontrak Semusim

“Saya rasa perjalanan kami di Piala AFC (2022) dimana kami memenangi perlawanan akhir Zon ASEAN dan mara ke perlawanan akhir kejohanan besar tersebut akan memainkan peranan penting buat para pemain kerana mereka tahu untuk menghadapi aksi di tempat lawan dan perlawanan di peringkat asia.” katanya.

Stanley menambah, KL City akan turun ke saingan ini selaku pasukan bukan pilihan atau “underdog” sebagaimana dalam beberapa kejohanan lalu tetapi dengan keyakinan yang berada di tahap tertinggi.

Bercakap mengenai peluang ke peringkat separuh akhir, Stanley menyifatkan KL City mempunyai peluang untuk mara namun beliau mahu melihat jadual perlawanan rasmi pada peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum menetapkan sasaran yang khusus bagi saingan ini.

Baca: Paling Minima Ikat 7 Pemain Import – CEO KL City

“Berdasarkan jadual itu, (kita akan ketahui) perlawanan mana kita akan beraksi di tempat sendiri atau tempat lawan, daripada situ kita akan memahami bagaimana sukar dan mudahnya (saingan peringkat kumpulan),” tambahnya.

Featured Image: Kuala Lumpur City

Komen