Hos Sukan SEA 2027: Hanya Sarawak, Pulau Pinang & Sabah Beri Maklum Balas Setakat Ini
July 10, 2024 Hafizuddin Omar

Hos bagi Sukan SEA Ke-34 yang akan berlangsung pada tahun 2027 masih belum diputuskan memandangkan Majlis Sukan Negara (MSN) masih menantikan respon daripada beberapa negeri mengenai tawaran untuk menjadi hos bersama bagi temasya dwitahunan tersebut.

Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub memaklumkan pihaknya yang menjadi wakil kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengumpul maklum balas masih menunggu jawapan daripada beberapa buah Kerajaan Negeri. 

Dimaklumkan, hanya Sarawak, Pulau Pinang dan terbaru, Sabah telah memberikan maklum balas tersebut kepada MSN setakat ini.

“Kita bagi tempoh sedikit lagi kepada negeri untuk memberi maklum balas kerana setiap negeri ada proses dan tatacara bagi menyampaikan keputusan,” katanya, ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoA) antara MSN dan Bubbles O2 di Bukit Jalil, semalam.

Baca: MSN Naikkan Gaji Jurulatih Program Podium & Pelapis Kebangsaan

Baca: 10 Faktor ASTAF Tawar PSM Hos Sepak Takraw Piala Asia 2025

Abdul Rashid turut berkongsikan bahawa terdapat negeri yang berkeinginan untuk menganjurkan temasya itu secara bersama-sama tetapi sekadar untuk menyediakan venue bagi beberapa acara tertentu.

“Ada negeri yang menawarkan menjadi tuan rumah bersama, ada yang mahu anjurkan beberapa acara sahaja, kita akan hantar kertas (cadangan) kepada Jemaah Menteri untuk memutuskan bersetuju atau tidak dengan cadangan ini.

“Persetujuan untuk menjadi tuan rumah ini belum diputuskan lagi dan ketika ini kita (MSN) sedang menyediakan segala bentuk maklumat dan perincian agar makluman dan perincian ini dipertimbang oleh Jemaah Menteri, baik dari segi kos, acara sukan akan dianjurkan di mana, negeri mana dan sebagainya.

“Semua ini kita sedang sediakan dan akan diangkat ke mesyuarat Jemaah Menteri, kemudian,” tambah Abdul Rashid lagi.

Tambahnya lagi, kertas cadangan yang sedang disiapkan itu sudah siap 80 peratus hingga 90 peratus dan hanya menunggu maklum balas daripada beberapa negeri sahaja lagi.

Awal Mei lalu, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh berkongsikan bahawa KBS akan meneliti cadangan Sarawak untuk menjadi tuan rumah bersama bagi penganjuran Sukan SEA 2027.

Selepas itu, Hannah memaklumkan pula bahawa Pulau Pinang berminat untuk turut serta menyokong Kerajaan Persekutuan bagi menganjurkan temasya berkenaan.

Bagaimanapun, difahamkan, Pulau Pinang hanya menawarkan diri untuk menyediakan beberapa venue pertandingan bagi acara-acara tertentu sahaja dan bukannya bertindak sebagai penganjur bersama.

Baca: SEAGF Pilih Malaysia Sebagai Tuan Rumah Sukan SEA 2027

Untuk makluman semua, dua tahun lalu, Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) mengumumkan menganugerahkan hos penganjuran Sukan SEA Ke-34 kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjadi hos bagi Sukan SEA adalah pada tahun 2017 bertempat di Kuala Lumpur.

Featured Image: Majlis Sukan Negara

Komen