Penampilan pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia tampak berlainan apabila dilihat semakin kurus ketika ditemui pada hari ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM) – kurang tiga minggu sebelum bermulanya temasya Sukan Olimpik 2024.
Mengulas mengenai penampilan baharunya, pemain berusia 27 tahun tersebut mengakui dirinya mengalami penurunan berat badan sekaligus menampakkannya kurus berbanding sebelum ini.
Bagaimanapun, Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik tidak membuat timbangan akan berat yang telah diturunkannya sebaliknya hanya mengambil maklum akan bacaan peratusan lemak sahaja.
Baca: Aaron-Wooi Yik Rangkul Gelaran ‘World Tour’ Sulung Di Terbuka Denmark
“Memang ada turun sikit (berat badan), memang makan pun ada control (kawal) sikit,” jawabnya dalam sesi temu bual khas bersama para pengamal media, pagi tadi.
Jelasnya penurunan berat badannya itu bukannya bermula beberapa minggu lepas ketika berlatih untuk menghadapi temasya Sukan Olimpik sebaliknya telah mencatatkan penurunan sedikit demi sedikit sepanjang tahun ini.
Baca: Aaron Chia Jangka Tahun 2024 Penuh Dengan Kesukaran
Bercakap mengenai sesi latihan yang dijalani setelah berakhirnya saingan Terbuka Indonesia yang disertainya awal Jun lalu, tempoh itu digunakannya untuk mempertingkat aspek fizikal berhabis-habisan.
Sementara itu, Aaron dan Wooi Yik senada dalam memuji inisiatif oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengadakan perlawanan simulasi lengkap dengan “a-board” dan latar belakang (backdrop) bertemakan Paris 2024.
Baca: BAM Buat Perlawanan Simulasi Lengkap Dengan ‘A-Board’, Latar Belakang Bertemakan Paris 2024
Ujarnya, perlawanan simulasi bertempat di Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu dapat memberikan mereka suasana seakan-akan perlawanan yang sebenar walaupun tidak secara berskala penuh di stadium yang sebenar sepertimana oleh Persatuan Badminton China (CBA).
Menerusi perlawanan tersebut, gandingan Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking kelima dunia diturunkan berhadapan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.