Prestasi Pengadil & Penggunaan VAR Cemerlang, Keputusan Nazmi Tak Beri Penalti Tepat – Timbalan Presiden FAM

July 25, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ S. Sivasundaram melihat penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia 2024-25 berada pada tahap yang cemerlang.

Bukan itu sahaja, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM turut menyatakan prestasi pengadil-pengadil dalam Liga Malaysia setakat ini berada pada tahap yang sama berikutan implementasi teknologi VAR tersebut.

Justeru, tindakan pengadil yang mengendalikan aksi melibatkan Kedah Darul Aman FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman pada Jumaat lalu, Muhammad Nazmi Nasaruddin tidak memberikan sepakan penalti setelah bola dilihat terkena tangan pertahanan JDT, Shahrul Saad disifatkan Sundaram sebagai tepat.

Insiden itu berlaku pada minit 90+4’ ketika kedudukan semasa adalah seimbang 1-1 dan keputusan oleh pengadil yang diiktiraf FIFA dilakukan selepas membuat semakan menerusi VAR.

Baca: FIFA Luluskan Penggunaan VAR Di Liga Malaysia

“Setakat sejumlah 42 perlawanan Liga Super dan Piala FA bagi musim 2024-2025 ini, penggunaan teknologi VAR serta prestasi pengadil adalah pada tahap sangat cemerlang.”

“Ini termasuk perlawanan Separuh Akhir 1 Piala FA, Kedah Darul Aman FC menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 19hb Julai lalu yang mana keputusan tidak memberikan sepakan penalti kepada Kedah Darul Aman FC oleh pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin adalah sangat tepat.” kata Sivasundaram dalam satu kenyataan media yang dikongsikan, hari ini.

Keputusan itu bukan sahaja telah menimbulkan komen yang pelbagai serta polemik dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan bahkan peminat bola sepak tanah air, pemerhati termasuk bekas-bekas pemain.

“FAM mendapati terdapat beberapa reaksi dan komen-komen yang tidak sihat dilakukan oleh para peminat dan penyokong termasuk juga pemain dan bekas pemain. Rata-rata komen mereka hanya dibuat mengikut emosi dan tidak memahami undang-undang bola sepak FIFA dan protokol VAR.”

Baca: Premier League Kekal Guna VAR, Perkenalkan SAOT

“FAM berharap semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh seseorang pengadil dan jangan membuat komen-komen dengan hanya mengikut emosi atau tanpa memahami undang-undang bola sepak FIFA dan protokol VAR,” tambahnya lagi.”

“Pelaksanaan dan operasi Video VAR di Liga Malaysia adalah berasaskan kepada protokol VAR FIFA dan ia diiktiraf oleh FIFA.”

“FAM sentiasa mengutamakan ketepatan keputusan dan prestasi pengadil yang optimum daripada setiap pengadil yang mengadili perlawanan Liga Malaysia. Keputusan sesuatu perlawanan itu sama ada menang, seri atau kalah, ia datang daripada pasukan itu sendiri.”

“FAM juga memiliki sistem pengajaran dan pemantauan prestasi pengadil yang setaraf dengan piawaian antarabangsa yang melibatkan pembangunan dan pengajaran yang berfokus pada makro-mikro seperti  ‘Pre-match briefing’,  ‘Post match debriefing’, ‘online post match debriefing’,‘video editing and analysis’, ‘VAR Refresher Course’ dan sebagainya,” jelas Sivasundaram.

Beliau turut memberi peringatan kepada semua pihak supaya menghormati keputusan pengadil yang mana setiap keputusan pengadil di Liga Malaysia adalah muktamad mengikut undang-undang bola sepak FIFA iaitu Undang-undang 5 di muka surat 65.

“Mengikut perkara tersebut, keputusan pengadil mengenai fakta yang berkaitan dengan permainan, termasuk sama ada gol dijaringkan atau tidak dan keputusan perlawanan adalah muktamad. Keputusan pengadil dan semua pegawai perlawanan lain, mesti sentiasa dihormati.”

“Mana-mana pemain atau pegawai pasukan juga tidak boleh membuat komen terbuka di media sosial atau apa jua saluran media berkaitan dengan keputusan pengadil.”

“FAM tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib sekiranya mana-mana pihak yang menyoal kredibiliti dan keputusan pengadil. Ini kerana setiap Pengadil, Penolong Pengadil, Pengadil VAR, AVAR dan ‘Replay Operator’ yang dilantik oleh FAM adalah individu yang bertauliah dan telah diiktiraf oleh FIFA.”

Baca: AFF Implemen VAR Dalam Kejuaraan B-19, Piala Shopee & Piala ASEAN

“Pasukan-pasukan yang bertanding serta media disaran merujuk kepada FAM bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan protokol VAR, undang-undang bola sepak serta sebarang jawapan berkaitan dengan keputusan pengadil,” ujarnya.

Undang-undang bola sepak FIFA di muka surat 144 juga jelas menerangkan bahawa seseorang pengadil utama adalah individu yang akan menentukan keputusan terakhir dan kesemua pembantunya termasuk VAR hanya berperanan sebagai pembantu dalam proses membuat keputusan sekiranya pengadil melakukan satu kesilapan atau terdapat insiden yang jelas dan terlepas pandang.

Pada masa yang sama, Sundaram berkata, “FAM melalui Unit Pengadil telah diamanahkan untuk melatih setiap pengadil. Setiap insiden dan prestasi akan dinilai dan diaudit oleh panel instruktur dalaman dan dirujuk kepada instruktur FIFA terpilih dari luar negara.” 

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd