Saya Memang Nak Zoysia Atau Bermuda, Lebih Mudah Untuk Dijaga – Kontraktor Padang Stadium MBPJ

October 14, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Akhir-akhir ini, padang Stadium Majlis Bandaraya Petaling jaya (MBPJ) yang digunakan oleh Selangor FC mendapat pujian kerana mempunyai permukaan yang baik dan tidak menakung air ketika hujan lebat biarpun menggunakan rumput jenis ‘cow grass’ atau nama saintifiknya, Axonopus Compressus.

Individu yang bertanggungjawab untuk memastikan keadaan padang tersebut berada dalam keadaan baik sebegitu ialah Normas Yakin Md Arifin menerusi syarikatnya, Turf Consultancy Sdn. Bhd. yang dilantik selaku kontraktor bagi penjagaan dan penyelenggaraan padang di stadium tersebut.

Disebalik kemampuannya untuk menyediakan padang tersebut ke tahap sebegitu, Normas, selaku penjaga padang, berpandangan adalah lebih baik Stadium MBPJ menukar padang rumputnya kepada jenis zoysia atau bermuda. 

Baca: Terengganu Mahu Wujudkan Nurseri Rumput Bermuda Bersebelahan SSMZA

“Sebagai penjaga padang, pada saya lebih baik kalau padang di MBPJ ini ditukar kepada zoysia ataupun bermuda,”

“Zoysia dan bermuda jauh lebih baik daripada ‘cow grass’, nak jaga ‘cow grass’ ini untuk dapatkan kualiti yang baik untuk penggunaan padang bola taraf Liga Super sangat susah,” 

“Kerja yang dilakukan perlu lebih berbandingkan dengan zoysia dan bermuda dengan roll-nya, dengan tarik drag mat-nya, dengan top dress-nya, lebih lagi berbanding dengan bermuda dan zoysia,” jelasnya ketika menjawab persoalan mengenai jenis rumput pilihannya untuk Stadium MBPJ menerusi Tiktok.

Sementara itu, satu lagi jenis rumput yang bagus ialah paspalum namun Normas mempunyai alasannya yang tersendiri bagi penggunaan di padang bola sepak.

@mynormas.com Saya memang nak Bermuda atau Zoysia atas padang saya, lebih mudah untuk saya jaga. Tapi, adakah ia rumput yang sesuai untuk MBPJ secara jangka panjang? #padangbola #rumput #bolasepakmalaysia #stadium ##CapCut ♬ original sound – Turf Consultancy Sdn Bhd

“Paspalum tu rumput yang bagus ya, cuma dia ada dalam kategori high maintenance (selenggara tinggi),”

“Di Malaysia tidak ada padang bola yang menggunakan paspalum, ada empat padang golf yang menggunakan paspalum, dua dah tutup,” tambahnya lagi.

Akan tetapi, Normas juga sedar bahawa Selangor FC hanya menggunakan Stadium MBPJ sebagai gelanggang rasmi mereka bukan untuk tempoh jangka masa panjang.

Skuad berjulukan Gergasi Merah itu akan kembali semula beraksi di ibu negeri apabila Stadium Shah Alam yang baharu siap dibina kelak.

Baca: Kedah, Perlis, Pulau Pinang & Sabah Tolak Geran RM200,000 – Kekal Guna Padang ‘Cow Grass’

“Itu sebagai penjaga padang, tapi kena ingat Stadium MBPJ ini adalah stadium milik majlis (bandaraya) dan majlis (bandaraya) adalah milik komuniti,” 

“Jadi, bila Selangor FC dah ada stadium sendiri nanti, padang ini akan kembali kepada komuniti,”

“Adakah bila dah kembali kepada komuniti tanpa sokongan daripada Selangor FC, boleh ke MBPJ menggunakan income (pendapatan) daripada penggunaan komuniti itu untuk menanggung kos penjagaan?”

“MBPJ sendiri mesti mampu, MBPJ ini power-lah juga daripada segi pendapatannya, tapi daripada segi penggunaan padang itu sendiri, itu satu isu yang berbezalah,” ujarnya.

Namun begitu, Stadium MBPJ dijangka beralih kepada menggunakan rumput kepada jenis bilah halus samada zoysia, bemuda atau setara untuk padangnya memandangkan pemiliknya, MBPJ antara yang tersenarai kalangan yang memohon geran penukaran rumput yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM200,000.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd