
Gergasi! Bola sepak Malaysia umpama sang gergasi tetapi sang gergasi itu sedang tidur. Itu gambaran oleh bekas pemain bola sepak yang pernah beraksi di eropah dan Amerika Syarikat serta menyarung jersi skuad kebangsaan Kanada, Rob Friend, kini berperanan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya.
Bagaimanapun, perumpamaan sang gergasi itu tidak dijelaskan atau dikupas dengan terperinci oleh Friend. Adakah gergasi itu merujuk kepada pemain-pemain skuad kebangsaan, para penyokong Malaysia yang fanatik, pemain pelapis skuad kebangsaan yang berbakat atau kancah bola sepak tempatan yang meriah?
Gambaran itu dikongsikan sendiri oleh Friend, 43 tahun, ketika temu bual sulungnya bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas melaporkan diri di badan induk bola sepak tanah air, pada Selasa.
Baca: RM30 Juta Buat Bola Sepak, PM Anwar Tuntut 4 Perkara
Pada masa yang sama, Friend memaklumkan dirinya teruja untuk menyertai penstrukturan baharu atau revolusi skuad bola sepak kebangsaan yang ideanya dipelopori oleh Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail.
“Ini merupakan satu peluang yang baik buat diri saya. Saya sangat teruja untuk menyertai revolusi skuad Harimau Malaya. Malaysia umpama sang gergasi yang sedang tidur.”
“Saya sudah bersedia untuk bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pemegang taruh terlibat seterusnya bersama-sama membangunkan sukan bola sepak di negara ini,” katanya.
Menambahkan lagi keterujaan Friend untuk menyertai revolusi ini adalah visi FAM dan wawasan Tunku Mahkota Ismail sekaligus membuatkan beliau melabelkan projek ini paling mengujakan dalam industri bola sepak peringkat global.
“Apa yang membuatkan saya teruja adalah visi FAM dan visi Tunku Mahkota Ismail. Oleh sebab itulah, saya berada di sini. Baginda merupakan orang yang paling berwawasan yang pernah saya temui.”
“Ketika saya bertemu dengan Tunku Mahkota Ismail, baginda menjelaskan tentang projek revolusi skuad Harimau Malaya.”
Baca: Bekas Pemain Selangor Dedah Mark Milligan Sertai Barisan Kejurulatihan Baharu Harimau Malaya
“Pada pendapat saya, ini merupakan projek paling mengujakan dalam industri bola sepak global. Saya turut melihat bahawa ini merupakan peluang yang unik untuk membangunkan bola sepak di Malaysia,” ujarnya.
Untuk makluman, Friend mencipta sejarah sebagai individu pertama yang dilantik sebagai CEO bagi skuad bola sepak kebangsaan. Selepas menggantungkan butnya, pada Disember 2014, Friend berkecimpung dalam bidang pengurusan, perniagaan, pelaburan dan pentadbiran bola sepak.
Featured Image: Football Association of Malaysia