Selangor FC, Voltra Berkolaborasi Keluarkan Kasut ‘Skate’ Merah Kuning – RM259

February 27, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Berkolaborasi dengan jenama terkenal dalam mengeluarkan cenderamata atau barangan eksklusif bukanlah sesuatu yang asing dilakukan Selangor FC yang baru sahaja merangkul kejuaraan MFL Challenge Cup 2024-25.

Penghujung tahun lalu, skuad berjulukan Gergasi Merah ini baru sahaja berkolaborasi dengan pengeluar jam terkenal dari Jepun iaitu Casio untuk mengeluarkan 1000 utas jam eksklusif berasaskan model G-Shock DW-5600.

Baca: Selangor FC, G-Shock Keluarkan 1000 Utas Jam Tangan Edisi Terhad – Harga RM495

Terbaharu, skuad berpangkalan di Lembah Klang itu tampil berkolaborasi dengan jenama pembuat pakaian tempatan yang terkenal dengan tanda dagangan (trademark) halilintar iaitu Voltra Pro.

Kolaborasi itu menyaksikan Selangor FC dan Voltra Pro mengeluarkan kasut “skate” eksklusif bertemakan warna tradisi kelab iaitu merah dan kuning serta dilekatkan dengan logo kelab dalam versi “monochrome”.

Kasut tersebut dihasilkan berasaskan model Vulcan Pro dan pembelian kasut berkenaan akan disertakan dengan pemberian dua tali kasut berwarna merah dan kuning.

Menerusi makluman oleh pihak kelab, kasut tersebut mula dijual pada hari ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum sepak mula perlawanan menentang Sabah FC serta laman sesawang, selangorfc.com/en/shop, dengan diletakkan tanda harga RM259.

Baca: Sertai Liga Singapura? Pelan B! – CEO Selangor FC

Menariknya, pemegang kad Red Giants Team Card (RGTC) pula akan berpeluang mendapat diskaun sebanyak 10% untuk pembelian kasut “skate” eksklusif ini menjadikan harganya hanya RM233.10 sahaja.

Bagaimanapun, pihak kelab menegaskan, diskaun ini hanya diperolehi peminat jika pembelian dilakukan menerusi saluran jualan Selangor FC (SFC) sahaja.

Sebagai tambahan, selain daripada Voltra dan Casio, Selangor FC turut berkolaborasi dengan jenama fesyen jalanan tempatan, SVG Worldwide, mengeluarkan koleksi pakaian seperti trivela varsity, kickoff tee, imperium crewneck, the jaquard scarf dan travel kit set.

Baca: Pesanan Sultan Sharafudin Kepada Pengurusan Selangor FC, Ultrasel – Jaga Tingkah Laku

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd