Piala Dunia 2026: Aksi Pembukaan Di Stadium Azteca, Final Di Stadium New Jersey
February 5, 2024 β€’ Hafizuddin Omar

Stadium yang menjadi saksi mendiang Diego Maradona menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua bersama skuad kebangsaan Argentina iaitu Stadium Azteca di Mexico City dipilih menjadi venue bagi perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026 FIFA.

Pemilihan stadium berkapasiti 83,000 tempat duduk yang mula dibuka pada tahun 1966 itu dimaklumkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di tiga buah negara; Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico itu dijadualkan berlangsung pada 11 Jun 2026 – perlawanan pertama bagi edisi Piala Dunia yang disertai oleh 48 buah pasukan.

Selain itu, stadium yang menjadi gelanggang rasmi bagi Club America dan Cruz Azul dalam saingan Liga Mexico pada ketika ini akan menjadi venue bagi dua lagi perlawanan peringkat kumpulan serta satu perlawanan pada peringkat kalah mati; pusingan 32 dan pusingan 16 masing-masing.

Baca: FIFA Perkenalkan Logo Rasmi Piala Dunia 2026 Serta Slogan – β€œWE ARE 26”

Baca: Pan-gon Setuju Lanjut Kontrak Sehingga Selesai Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia

Sementara itu, Stadium New Jersey di New York pula disahkan oleh FIFA diberikan penghormatan untuk menjadi venue bagi perlawanan akhir Piala Dunia 2026.

Stadium yang mampu memuatkan 82,500 penonton dan dibuka pada 2010 itu dijadualkan melangsungkan perlawanan akhir pada 19 julai 2026.

Pada hari kebiasaannya sejak ianya dibuka, stadium ini menjadi gelanggang rasmi bagi dua buah kelab bola sepak amerika (american football) iaitu New York Giants dan New York Jets yang beraksi dalam kancah Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL).

Bagaimanapun, ianya bukanlah satu stadium yang asing buat perlawanan bola sepak apabila pernah menjadi venue bagi perlawanan akhir Copa America 2016 Centenario.

Perlawanan akhir itu menyaksikan Chile yang dibintangi oleh Claudio Bravo, Arturo Vidal dan Alexis Sanchez berjaya mengecewakan Lionel Messi dan rakan-rakannya menerusi penentuan sepakan penalti yang berkesudahan dengan skor 4-2.

Baca: Piala Dunia 2022 Qatar Jadi Yang Terakhir Buat Lionel Messi

Baca: Presiden FIFA Umum Arab Saudi Anjur Piala Dunia 2034

Featured Image: FIFA

Komen