Pengadil Negara Dipilih Sertai Kursus Calon Pengadil Piala Dunia 2026
Hafiz Omar
Saingan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico kelak berkemungkinan besar akan turut disertai kelibat pengadil negara iaitu Muhammad Nazmi Nasaruddin.
Ini susulan pengadil negara berusia 33 tahun terbabit telah dipilih untuk menyertai kursus “FIFA World Cup Candidate 2026” sebagai salah seorang calon pengadil utama bagi kejohanan bola sepak terulung dunia yang akan berlangsung dalam tempoh masa sekitar dua tahun lagi.
Perkara tersebut turut disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu siaran media yang dikeluarkan pada hari ini.
Baca: FAM Ada Sebab Tak Dapat Lantik Pengadil FIFA Kendali Final Piala Malaysia 2023
View this post on Instagram
Baca – Piala Dunia 2026: Aksi Pembukaan Di Stadium Azteca, Final Di Stadium New Jersey
Difahamkan, prestasi cemerlang Nazmi berserta dua orang pembantunya, Mohd Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid di kejohanan Piala Asia 2023 baru-baru ini membolehkannya dipilih secara merit untuk menyertai senarai “FIFA World Cup Candidate 2026”.
Sebagai rekod, Nazmi dan dua orang pembantunya telah dipilih untuk mengadili dua perlawanan di pentas Piala Asia iaitu melibatkan pertembungan antara Iraq dan Vietnam (peringkat kumpulan) serta pertarungan antara Uzbekistan dan Thailand (pusingan 16).
Untuk makluman semua, kursus tersebut bakal berlangsung bermula 25hb hingga 29hb Februari 2024 di Qatar.
Baca: 20 Pengadil Tempatan Sertai Latihan VAR Fasa 3, Persediaan Menjelang Musim Depan
Selepas itu, Nazmi akan terus diuji melalui beberapa siri kursus anjuran FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) termasuk perlawanan-perlawanan anjuran kedua-dua badan induk terbabit sebagai syarat pemilihan secara merit ke Piala Dunia 2026.
Sebagai tambahan, Nazmi, kelahiran Kuala Lumpur yang menceburi bidang kepengadilan bola sepak sejak 2010 juga merupakan pengadil negara pertama mengadili perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) melibatkan Buriram United dan Zhejiang FC pada 20 September 2023.
Featured Image: Football Association of Malaysia