Pengelola pertandingan bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) tidak merancang untuk memberhentikan saingan Liga Malaysia semasa berlangsungnya Piala ASEAN (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) pada tahun ini.
Sebelum ini, memberhentikan saingan atau menunda beberapa perlawanan pernah dipraktikkan bagi membolehkan ketua jurulatih memanggil pemain-pemain terbaik daripada mana-mana pasukan tempatan untuk menyertai skuad kebangsaan pelbagai peringkat umur.
Untuk makluman, kejohanan dwitahunan anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang melibatkan 10 skuad kebangsaan dari rantau asia tenggara itu dijadualkan berlangsung dari 23 November hingga 21 Disember kelak.
Baca: JDT Hanya Lepaskan Pemain Kebangsaan 7 Hari Sebelum Bertemu Oman
Tarikh itu bukan sahaja berada di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA – yang tidak mewajibkan kelab-kelab untuk melepaskan pemain-pemainnya – semasa berlangsungnya saingan Liga Malaysia 2024-25 bahkan turut bertembung dengan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Oleh demikian, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam berpendapat adalah lebih baik Persatuan-Persatuan Bola Sepak Kebangsaan dan AFF duduk semeja dan membincangkan tarikh penganjuran yang baharu bagi saingan Piala ASEAN tersebut.
Baca: Nama Piala AFF Ditukar Menjadi Piala ASEAN Berserta Logo Baharu
“Dalam percaturan liga pada masa ini, tidak, tetapi kita mesti ada perbincangan dengan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mengenai perkara ini dengan tarikh-tarikh yang dikeluarkan oleh AFF,”
“Sebagaimana semua tahu, tarikh (kejohanan) yang dikeluarkan AFF berlanggar juga dengan tarikh (kejohanan) AFC iaitu Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dimana dua pasukan kami iaitu JDT dan Selangor bersaing.”
Baca: AFC Menjenamakan ACL Kepada ACL Elite – Format Baharu & Juara Raih AS$12 Juta
“Perkara ini perlu saya bincangkan dengan FAM untuk memastikan komunikasi bersama dengan AFF (supaya) kita dapat selaraskan,”
“Saya rasa masalah ini bukan masalah Malaysia sahaja tetapi masalah rantau (asia tenggara) dimana pasukan-pasukan yang bertanding di dalam ACLE dan juga ACL2 juga bersaing,”
“Jadi, harapnya AFF ada perbincangan dengan persatuan masing-masing dan satu pendekatan dan mungkin tarikh (baharu) yang boleh disesuaikan dengan tarikh-tarikh liga boleh ditentukan,” katanya ketika ditemui oleh para pengamal media, hari ini.
Baca: ACL2 Nama Baharu Bagi AFC Cup Bermula 2024-25
Untuk pengetahuan semua, saingan Liga Malaysia 2024-25 akan membuka tirainya sekitar pertengahan Mei 2024 dan melabuhkan tirainya pada April 2025.
Dijangka sepak Liga Malaysia 2025-26 pula akan dianjakkan ke bulan Jun 2025.
Sementara itu, saingan ACLE dan ACL2 pula akan berlangsung dari Ogos 2024 dan berakhir pada pertengahan Mei 2025.
Sekiranya AFF mahukan saingan Piala ASEAN terus mendapat perhatian dan disertai oleh pemain-pemain handalan dari setiap skuad kebangsaan rantau asia tenggara, tarikh penganjuran bermula penghujung Mei hingga awal Jun adalah paling ideal.
Baca – TMJ: Piala AFF Mengacau Pemain & Jadual Pertandingan
Featured Image: Malaysian Football League