AFF Tak Setuju Ubah Tarikh Penganjuran Piala ASEAN, Malaysia Hantar Skuad Campuran
May 8, 2024 Hafizuddin Omar

Idea untuk mengubah tarikh penganjuran Piala ASEAN (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) ke pertengahan tahun telah dibincangkan oleh penganjur dan badan induk bola sepak rantau asia tenggara, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Idea itu dibincangkan kalangan peminat khususnya di Malaysia susulan penganjurannya bertindih dengan beberapa liga domestik di rantau ASEAN yang telah melakukan transisi memulakan liga masing-masing pada pertengahan tahun atau sekitar Ogos – persis kalendar penganjuran liga bola sepak di benua eropah.

Baca: Sepak Mula Liga Malaysia 2024-25 Dianjak Ke 10-12 Mei

Pada masa yang sama, penganjuran Piala ASEAN pada penghujung tahun turut bertindih dengan kejohanan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) iaitu Liga Juara-Juara Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Dua kelab Liga Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC turut menyertai kejohanan tersebut masing-masing. 

Baca: MFL Tak Hentikan Saingan Liga Malaysia Semasa Piala ASEAN 2024

Sebelum ini, pengelola pertandingan bola sepak tempatan iaitu Malaysian Football League (MFL) menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam turut memberikan cadangan yang sama mengenai penganjuran Piala ASEAN tersebut.

Bagaimanapun, selepas melakukan perbincangan, AFF membuat keputusan untuk menolak idea tersebut dan mengekalkan penganjurannya pada penghujung tahun – seperti penganjuran edisi-edisi yang lalu.

Baca: Nama Piala AFF Ditukar Menjadi Piala ASEAN Berserta Logo Baharu

“Benda tu telah diutarakan (ubah tarikh penganjuran Piala ASEAN) tetapi barisan penaja dan keseluruhan Ahli Majlis AFF tak setuju, dia nakkan (tarikh penganjuran) hujung tahun, 

“(Ini) kerana mereka berpendapat pada waktu tu ada lebih banyak pasukan untuk bermain, itulah kesukarannya,” kongsi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin merangkap Ahli Majlis AFF ketika ditemu bual secara eksklusif beberapa agensi media, semalam.

Untuk makluman semua, saingan Piala ASEAN Ke-15 terbabit dijadualkan berlangsung dari 23 November hingga 21 Disember 2024 – di luar daripada jendela Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA.

Baca: AFF Lancar ASEAN United FC – Platform Digital Untuk 4 Kejohanan Utama

Memandangkan penganjuran Piala ASEAN terbabit kekal pada penghujung tahun, Hamidin memaklumkan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon akan membentuk skuad yang terdiri daripada campuran pemain bawah 23 tahun (B-23) serta beberapa pemain senior daripada kelab selain JDT dan Selangor.

“Setakat ni dia (Pan-gon) tak nak (hantar skuad B-23 sahaja), dia nak hantar mix (campuran pemain) skuad B-23 dan senior.”

“Sukar sikit (nak dapatkan pelepasan pemain-pemain), saya dah suruh dia tengok, tapi pemain Selangor dan JDT memang tak boleh dapat kerana dia main (kejohanan) Liga Juara-Juara AFC Elite dan Liga Juara-Juara AFC 2,” tambah Hamidin lagi.

Sebagai rekod, kempen Malaysia dalam kejohanan dwitahunan edisi lalu tersekat di peringkat separuh akhir selepas tewas 1-3 secara agregat kepada Thailand.

Komen