Terengganu FC Dapat Tajaan Rangkaian Klinik Swasta Bernilai RM500,000
February 5, 2024 Hafizuddin Omar

Naib juara Piala Malaysia 2023 iaitu Terengganu FC berhasil menambahkan kantung kewangannya menjelang saingan Liga Malaysia 2024-25 apabila mengikat kerjasama bersama Hijraa Management Sdn Bhd – syarikat yang menguruskan rangkaian klinik perubatan, Klinik Perubatan Hijraa 24 Jam.

Kerjasama itu hadir setelah Terengganu FC dan Hijraa Management Sdn Bhd sambil dihadiri barisan pengurusan kedua-dua pihak termasuk para pemain memeterai perjanjian dalam satu majlis yang bertempat di Raia Hotel, Terengganu semalam.

Susulan kerjasama itu, skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner menerima tajaan berbentuk wang tunai serta perkhidmatan kesihatan yang bernilai RM500,000 manakala Hijraa pula secara rasminya diangkat sebagai “Penaja Silver” Terengganu FC bagi musim 2024-25.

Bukan itu sahaja, menerusi kerjasama dan tajaan terbabit, logo Hijraa di semua jersi latihan rasmi Terengganu FC bermula musim ini.

Baca: ALX Ganti Umbro Selaku Penyedia Kit Terengganu FC – Tajaan Cecah RM2 Juta

Baca: 3 Prospek Harimau Malaya Lanjut Kontrak Bersama Terengganu Sehingga 2026

Untuk makluman semua, Klinik Perubatan Hijraa mempunyai 16 buah cawangan setakat ini dan menawarkan pelbagai rawatan dan perkhidmatan kesihatan seperti perkhidmatan x-ray, imbasan ultrasound, ECG, nebulizer, pembedahan kecil dan penjagaan luka kronik, suntikan sakit sendi, imbasan kandungan 7D, khidmat doktor ke rumah dan lain-lain lagi.

Sebagai rekod, jersi latihan rasmi Terengganu FC sebelum ini dihiasi dengan logo Colever – hasil memeterai perjanjian dengan syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM), TDC Holdings dari musim 2022 hingga 2023.

Sebagai tambahan, kerjasama ini juga akan memberikan manfaat buat pemegang kad ahli kelab yang dikenali sebagai TFC Membership Card sepanjang musim 2024-25.

Baca: COO Terengganu FC Naik Pangkat, Isi Kekosongan Ditinggalkan Ab Rasid

Bagaimanapun kelebihan terbabit akan diumumkan bersama-sama waktu promosi pendaftaran keahlian kelab yang akan dijangkan dibuka akhir Februari nanti.

Terdahulu, Terengganu FC berhasil mendapatkan penajaan bernilai RM250,000 bagi tempoh semusim daripada Estetika Medispa Sdn Bhd serta hampir RM2 juta daripada ALX – jenama pembekal kit milik Al-Ikhsan – bagi tempoh dua musim.

Menurut satu laporan media, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Mohd Sabri Abas mendedahkan skuad berpangkalan di pantai timur semenanjung telah mengumpul 23 penajaan yang bernilai RM7 juta dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan bagi menjelang sepak mula saingan musim 2024-25.

Featured Image: Terengganu FC

Komen