Zoo Taja Terengganu FC Sebanyak RM250,000 Serta 3 Buah Trak Pikap
February 15, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC berhasil memeterai satu lagi kerjasama yang menambahkan kantung kewangannya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25.

Kerjasama baharu itu dimeterai bersama Rimba Razia – sebuah zoo yang berkonsepkan “petting zoo” dimana pengunjung boleh berinteraksi dan memberi makan sendiri kepada haiwan-haiwan – yang terletak di Kampung Dusun, Kuala Berang.

Susulan kerjasama itu, Terengganu FC bimbingan Tomislav Steinbruckner menerima tajaan berupa wang tunai sebanyak RM250,000 serta tiga buah trak pikap berjenama Toyata Hilux.

Kerjasama penajaan itu dimeterai Pemilik Rimba Razia, Datuk Seri Zakaria Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Mohd Sabri Abas dalam satu majlis yang diadakan bersempena dengan Hari Perasmian Pembukaan Rimba Razia, pada hari ini.

Baca: Terengganu Ikat Penyerang Nigeria Berketinggian 1.90 Meter – Kontrak Semusim

“Untuk makluman, saya adalah peminat tegar sukan bola sepak,” 

“(Oleh) sebab itu, hari ini, saya ingin menyumbangkan kepada pembangunan bola sepak TFC ini,” katanya semasa memberikan ucapan alu-aluan pada majlis berkenaan.

Untuk pengetahuan semua, Rimba Razia mempunyai lebih 80 spesis haiwan seperti unta, alpaca, kanggaru, kuda, keldai, capybara serta pelbagai jenis musang telah pun dibuka bermula 15 Julai 2023.

Sehingga kini, zoo berkeluasan lebih satu hektar terbabit difahamkan telah menarik kunjungan antara 3,000-4,000 pengunjung setiap hari terutamanya pada hujung minggu.

Sebagai rekod, ini merupakan kerjasama penajaan yang kelima bersama entiti baharu selepas mengikat kerjasama dengan MS Citajaya, Klinik Hijraa, AEON Big dan Estiflex.

Featured Image: Facebook Hishamuddin Abdul Karim

Komen